Isnin, September 12, 2011

PD pusat pembuangan sampah



PD pusat pembuangan sampah
Sinar Harian 12 Sep 2011

PORT DICKSON – Daerah Port Dickson pada hari ini bukan sahaja terkenal dengan pelbagai gelaran seperti Pusat Pelancongan Negara dan Bandar Tentera Darat, malah turut dikenali sebagai pusat segala pembuangan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat, Zulkefly Mohamad Omar berkata, daerah ini dijadikan pusat segala pembuangan sampah.

Menurutnya, Port Dickson secara nyatanya dijadikan pusat pembuangan sampah di Bukit Palong, pusat pelarian, pusat pembuangan sisa kumbahan ke dalam laut dan saliran longkang turut disalurkan ke laut serta pembuangan atau pelepasan karbon dari salah satu kilang di sini.

“Ini semua dilakukan kerana pembangunan tidak dirancang dengan baik dan menyebabkan rakyat yang terpaksa menanggungnya tanpa mereka sedari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Coastal Clean Up 2011 dan Sambutan Hari Raya anjuran Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat dengan kerjasama PKR Telok Kemang.

Majlis berkenaan dirasmikan ahli jawatankuasa (AJK) Pas Pusat merangkap Exco Kerajaan Kedah Datuk Amirudin Hamzah.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Adun Port Dickson, M Ravi dan Adun Lukut, Ean Yong Tin Sin.

Zulkefly berkata, rakyat perlu sedar dan bangkit bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berterusan dan akhirnya rakyat yang tanggung.

“Pantai Port Dickson sepatutnya dikenali sebagai pantai selamat, selesa dan sihat serta bukannya sebagai pusat segala bahan buangan. Namun, masyarakat tidak mempunyai banyak pilihan dalam menentukan destinasi percutian mereka dan memilih Port Dickson berikutan lokasinya strategik,” katanya.

Katanya, dalam memastikan pantai Port Dickson terpelihara, semua pihak perlu memainkan peranannya dengan betul.

“Apa yang penting, peranan dimainkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) perlulah ke arah Port Dickson sebagai pusat pelancongan dan mereka perlu tegas,” katanya.

Coastal Clean Up adalah julung kali diadakan di negara ini dan Pas bercadang akan menjadikan ia sebagai acara tahunan di mana ia turut dijayakan di peringkat antarabangsa.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9519697.asp